4/11/11

DG 75


Armaya Aman Ramli adalah salah seorang anak arwah A R Tompel (Aman Ramli bin Jaafar). Pada tahun 1975, menggunakan nama A R Badul,beliau bergabung dengan R Jaafar untuk menyertai pertandingan Bakat TV anjuran RTM. Mereka muncul sebagai juara dengan persembahan lawak yang bersahaja. [R Jaafar sebelum itu pernah menjadi pelakon tambahan dengan watak serius termasuk sebagai hulubalang. Tetapi kemenangan dalam pertandingan itu menenggelamkan imej serius tersebut, malah jika ditayangkan filem lama lakonan beliau, penonton tetap akan tertawa, kerana bagi mereka beliau adalah pelawak! 

Mereka kemudiannya ditawarkan berlakon di bawah Aziz Sattar dalam filem Si Badul [turut dibintangan oleh Mahmud June, Ahmad Jais dan Milah Hussein]. Biasalah, tengah mencanak naik nama masa itu. Macam Senario dan Sepah ketika zaman puncak masing-masing. Malah Badul sendiri menggunakan 'jenama' popular semasa - Mr Os - untuk mengarahkan sebuah filem saduran.


Antara yang diingati tentang kelibat mereka dalam penyertaan Bakat TV itu ialah Badul yang memakai baju-t bertulis DG di bahagian depannya, dalam beberapa minggu muncul sebelum beraksi di pentas akhir. Ketika diusik oleh Jaafar, Badul memberitahu bahawa DG itu bermaksud Darah Gemuruh. Maka setiap kali melakukan silap(mungkin) dalam sketsa mereka, Badul akan mengisyaratkan ke dadanya, "Darah gemuruh", katanya dan pasti disambut dengan derai ketawa penonton. {Kenapa penonton ketawa? Entahlah, tapi tanyalah peminat Mawi (ketika zaman puncaknya), kenapa mereka ketawa dan bertepuk setiap kali artis itu bercakap hatta ketika beliau menggosok hidung kerana tak boleh spontan bercakap.}

Peredaran masa. Rupanya DG Si Badul, orang dah lupa. Yang dihebohkan sekarang ialah DG berapa gaji anda sekarang? DG 29? DG 32? DG 41 atau 44? Seperti sistem kasta pula. Kalau anda pegawai Pejabat Pelajaran Daerah dengan DG 32, anda hanya mengundang sindiran jika anda ke sekolah dan menegur guru yang DGnya 41! Betulkan kalau saya silap!

14/10/11

Ahmad Jais Yang Saya Kenang


Mulut tak hangus berkata api
Memang tak nampak sakit di hati

Dia berada tak sampai 10 kaki jaraknya dengan saya. Saya berdiri betul-betul di bahagian kanan pentas. Di tepi tiang.
Dan tidak menghalang pandangan sesiapa..Mata saya selari dengan lantai pentas. Jadi saya perlu mendongak untuk memandangnya. Berpakaian serba putih, dia menyanyi tiga lagu pembukaan. Matanya menghala ke lautan manusia di depannya. Saya tak ingat lagu-lagu itu tapi saya tahu saya turut menyanyi bersamanya secara perlahan. Bohonglah kalau peminat setia tak ikut menyanyi.

Setelah meminta izin berehat, dia kembali ke belakang pentas. Saya dan beberapa lagi rakan sebaya berkejar ke situ. Kasihan juga pada penyanyi selepasnya, yang tak kurang hebat kerana pernah memenangi Bintang Radio tapi ketika itu tiada lagu baru yang popular…..
Di belakang pentas , saya hanya melihatnya dari jarak 10 kaki juga. Kalau mendekat, tak tau nak buat apa. Dia dilihat meneguk air. Berborak dengan seseorang (mungkin promoter) agak lama, kemudian bergurau pula dengan 2 pelawak yang akan muncul di pentas. Kemudian duduk bersandar pada sebuah kerusi sambil mengikut nyanyian rakan di pentas tapi sekadar “la la la la la la…” Saya memerhati dengan penuh minat. Inilah penyanyi yang beberapa tahun sebelum itu meletup dengan lagu Seraut Wajah. Inilah penyanyi yang dijadikan contoh oleh guru BM saya, kerana katanya tak pernah dia dengar nyanyiannya ikut slanga KL.walaupun dia berasal dari dekat-dekat sane. (Cikgu merujuk kepada seorang senior yang menyanyikan lagu itu ketika Malam Pelajar sekolah)

Betapa terasa kecewa
Sampai tiada khabar berita
Sampai hati dikau kiranya
membiarkan hatiku luka
bukan
betape terase kecewe
sampai tiade khabar berite
………………………..
………………………

Anggota Orkes Chandni Batu 5 Sik, band pengiring, berehat.Mereka beratur panjang menghadapnya. Ada yang merokok sambil berbual. Turut serta penyanyi yang menyanyi selepasnya tadi. Ketika penonton disajikan lawak jenaka, saya masih di situ. Memandang wajahnya di bawah cahaya empat lima mentol 60 watt. Sebagai budak menengah rendah, saya memang tak berhajat untuk mendekatinya. Takut kalau disapanya saya, apa nak dijawab? Dia juga tak perasan akan kehadiran saya kerana sepanjang masa itu tak pernah pula matanya menghala ke tempat saya berdiri.

Selepas penonton bergelak, dan diikuti oleh sumbangan suara penyanyi tetap band, tiba giliran dia menyanyi. Saya berlari semula ke tempat di penjuru pentas tadi. Terpaksa juga menolak dua tiga kawan untuk betul-betul berada di kedudukan asal. Kali ini dia menyanyi banyak lagu termasuklah lagu terbarunya ketika itu. Setiap kali habis sebuah lagu, dia berceloteh ala kadar, tapi ada yang lucu sebab ramai orang ketawa. Boleh dikatakan semua lagu yang dinyanyikannya menjadi hafalan saya. Lalu saya ikut dalam perlahan. Hinggalah satu lagu yang tak akan saya lupa kerana ketika menyanyikannya dua baris daripadanya dia memandang kea rah saya sambil mengangkat jari telunjuk dan menggoyangkannya
Mulut tak hangus berkata api
Memang tak nampak sakit di hati

Saya terpempan.

Saya mungkin lupa sebahagian perjalanan malam itu. Tapi perasaan saya sepanjang berjalan balik dari padang Sekolah Kebangsaan Kangkong, tak akan terungkapkan.[ Bukan tak pernah saya tonton persembahan artis lain di padang sekolah itu. Antara yang pernah dijemput promoter ialah Sharifah Aini, D J Dave, gandingan Jamali Shadat dan Hamid Gurkha. Yang pelik Noor Azizah pun pernah diundang. Pelik kerana beliau adalah pelakon yang tak pun dikenali sebagai penyanyi, Digagahinya menyanyi malam itu (sudah pastilah lagu orang kerana beliau tak penah terbitkan album) sambil menabur gula-gula Kiss Me yang pembalutnya adalah gambar wajahnya. (Adakah lagi gula-gula itu?)]

Yang nyata saya makin meminati lagunya. Dialah penyanyi tunggal yang saya ketika remaja dulu pernah menghantar kad ucapan selamat hari raya. Walau hanya ke alamat syarikat penerbit album, tapi saya puas. Puas jugalah saya dikutuk oleh kawan-kawan yang mengirim kad ucapan mereka kepada artis remaja perempuan.

Peminat dari jauh ini, akhirnya terkedu. 11 Oktober 2011. Sayu bila mendengar dj radio mengumumkan bahawa Presiden Karyawan Freddei Fernandez mengesahkan bahawa Dato Ahmad Jais telah meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un. Saya menghantar mesej kepada beberapa teman yang ‘sekepala’ meminati lagu-lagu arwah. Beberapa daripadanya seperti tak percaya.

Pertama kali kematian seorang seniman meruntun hati saya.
Mana mungkin saya melupakan lirik lagunya yang menyentuh.

Ada kisah di bibirnya
Dalam bisuan hamba mengerti


Antara dua kasih
Pilihan keluarga kauterima
Kini kubersedih
Merintih tak terkata


Hidup kita bukan untuk derita
Juga derita tidak selamanya
Usah dibuang usia yang masih muda
Agar tak kesal di hari muka


Sungguh kasihan bunga bermadu
Ditinggal kumbang sesudah layu
Inikah nasib suratan hidupmu, sayang
Sesudah layu tiada yang mahu


Jangan tergoda bintang di awan
Kalau terbitnya di siang hari
Jinak merpati makan di tangan
Jangan disimpan di sangkar hati

15/06/11

Muhammad Ali vs Joe Bugner



Siapa sangka Stadium Merdeka menjadi pilihan untuk pertarungan merebut juara tinju Heavyweight dunia. Namun itulah yang berlaku pada 1 Julai 1975. Saya di tingkatan dua. Masih jelas betapa hebatnya promosi perlawanan itu. Ditubuhkan Syarikat Tinju Dunia Sdn Bhd untuk mengendalikannya. Kami di sekolah setiap minggu didatangi penjual buku yang menyelitkan majalah dan makalah tentang Muhammad Ali dan Joe Bugner sebagai bahan pelaris sebenarnya.

Di akhbar, iklan semuka penuh memuatkan wajah ceria rakyat Malaysia yang telah membeli tiket untuk menyaksikan pertarungan 15 pusingan itu. Satu wajah yang kekal di memori ialah seorang muda melayu berambut afro dengan tertulis di bawahnya perkataan "Gila" bagi menggambarkan keterujaannya.

Saya tak ingat bagaimana sambutan terhadap ketibaan Muhammad Ali, tetapi tak akan melupakan imej seorang penyanyi wanita terkenal (hingga kini) menyuakan muka dicium oleh Joe Bugner di Lapangan Terbang Subang.

Pada pagi perlawanan, kami berkumpul di kantin sekolah, menghadap peti tv (terima kasih untuk Mr Looi Chee Cheong a.k.a Pak Looi, guru besar yang mengizinkannya---- kalau tidak, sepilah sekolah). Bagi kebanyakan kami, tentulah menyokong Muhammad Ali yang semua orang panggil Mat Ali. Namun kemenangan tko yang kami harapkan tidak menjadi. Terpaksa berpuas hati menang dengan kiraan mata.

Antara yang diingati sepanjang pertarungan itu ialah gelagat Mat Ali membeliakkan matanya setiap kali gadis Malaysia pembawa kad pemberitahuan pusingan memasuki gelanggang. Juga bangganya mendengar suara Datuk Zainal Alam (penyanyi lagu Susu) sebagai pengumum pertarungan dan keputusan. Rasanya itulah pertama kali suara rakyat Malaysia dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia.

1/04/11

Juara Kugiran



Kumpulan gitar rancak (kugiran) menjadi fenomena yang menggoncang dunia hiburan pada tahun 60-an. Berpusat di Temasik, cepat pula menular ke seluruh semenanjung. Dalam kemeriahan itu, TV Malaysia telah mengadakan pula pertandingan Juara Kugiran pada hujung 60-an. Muncullah kumpulan anak muda dengan nama-nama unik memperagakan bakat bermain muzik dan menyanyi. Antara yang masih diingat ialah:

The Buglars dari Perlis dengan penyanyinya Zainal Abidin Ahmad. Masih terngiang juruacara malam final berkata ,"Jangan asyik tengok The Buglars bermain, The Buglars lain pula masuk rumah..."

De Westerlies dari Pulau Pinang, dengan lagu popular Gembala Lembu (penyanyinya Jules Oii, yang kemudiannya bersama kuartet MARJ (singkatan Mimi(Norazamimah Tahrim), Ahmad, Rahim dan Jules) menyertai Bintang RTM.



D Latinos juga dari Pulau Pinang, penyanyinya Z Mohamad, dengan tiga lagu popular Goreng Pisang, Nasi Kandar dan Kelapa Muda!

Band Titiwangsa pimpinan Tengku Idham, di mana pemain gitarnya Eddy Ham menjadi bualan hangat kerana terkena renjatan elektrik ketika bermain alat itu, sesuatu yang jarang terjadi pada zaman itu.....

Banyak lagi kumpulan dari setiap negeri termasuklah Jayhawkers, D Unlimited Desire, The Zurah dan The Rezas, tapi memori saya terbatas. Namun yang uniknya setiap kugiran akan mempersembahkan lagu ciptaan sendiri.

21/03/11

M Nasir Anak Jati Malaysia?

Isnin, 21 Mac 2011




Mohd Nasir Mohamad atau M Nasir bagi kebanyakan orang, adalah suami kepada Marlia Musa yang dinikahi setelah lama menduda berikutan kematian Junainah (anggota kumpulan Ideal Sisters) isteri pertamanya. 

Ramai terlupa bahawa artis kelahiran Kota Singa ini, sebelum muncul sebagai trio Kembara (turut dianggotai A Ali dan S Sahlan), pernah merakamkan album Untuk Pencinta Seni berlabel Philips(Polygram) dengan nama Mohamad M N.

Namun tahukah anda sebelum kemunculan Dato' M Nasir itu, Malaysia juga pernah ada penyanyi bernama M Nasir yang lebih awal merakam album? 

Dialah penyanyi Orkes Chandni dari Sik Kedah. Album iringan kumpulan yang cukup terkenal di utara itu turut memuatkan suara pasangan duetnya, Rohani Sopian. Lagu popular mereka ialah Dalam Sinar Matamu (1975) yang juga menjadi tajuk album yang diterbitkan oleh Life Records.

Kalaulah M Nasir Sik terus aktif dan popular, pastilah lagu Mustika, Bonda dan Mentera Semerah Padi, misalnya, akan terus disebut dari nyanyian Mohamad M N...... 

5/02/11

TV1 Tetap Pilihan Penulis Pojok.....



Haiti. 12 Januari 2010. Gempa bumi yang dahsyat pada 7 skala Richter berpusat di Leogane yang terletak 25 km dari Port-au-Prince, ibu negaranya. Kerajaan menganggarkan 316,000 rakyatnya terkorban, 300,000 lagi tercedera manakala 1000000 kehilangan tempat tinggal.
Kejadian yang bermula pada pukul 4.53 petang itu, yang diikuti pula oleh beberapa gegaran susulan dalam seminggu berikutnya,segera mendapat perhatian dunia. Pelbagai bentuk bantuan diberikan.
Malaysia tidak terkecuali. Berita tentang kejadian itu saban hari dilaporkan, mengundang rasa simpati dan insaf sekali gus akan fenomena alam ciptaan Allah ini.
Bagaimanakah anda menyebut HAITI? Lupakan dulu sebutan untuk ibu negara bekas jajahan Perancis itu.
Dalam menyampaikan berita itu, seorang pembaca berita tv1 menyebutnya HAI-TI (hi-tea?) sedangkan sepatutnya ialah HEI-TI (hey-tee).
Dalam suatu kolum sebuah akhbar mingguan, penulis pojoknya telah menghentam kakitangan RTM itu kerana tidak peka dan membuat homework, lantas mungkin menjejaskan nama baik majikannya. Banyak jugalah yang dileternya.
Saya kagum serta menyetujui omelan itu.

MESIR. 25 Januari 2011. Rakyat mula berhimpun di Medan Tahrir, Kaherah menuntut Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan yang disandangnya sejak tahun 1981, menggantikan Anwar Sadat yang mati ditembak tenteranya sendiri.
Ratusan mati dan ribuan cedera sepanjang perhimpunan hampir sebulan itu.

Sekali lagi Malaysia memerhatikan situasi itu. Berita mengenai perkembangan tunjuk perasaan
tersebut dan perkembangan semasa sentiasa dilaporkan.
Termasuk dalam laporan itu adalah tindakan dan ulasan ahli politik negara berkenaan. Antara
parti politik yang disebut ialah Ikhwan Muslimin.

Bukan sekali saya mendengar pembaca berita TV3 menyebut Ik-wan BUKAN Ikh-wan. Ini
antara huruf kaf dengan kha. Amat jauh bezanya.

Saya menunggu bilakah penulis pojok akan mengomel tentang hal ini. Sehingga kini masih tiada.

Saya berbaik sangka. Mungkin TV3 bukan pilihan penulis pojok itu. Beliau penonton setia TV1.