28/04/12

Jangan Tipu Orang Kampung!


Album Kong Kali Kong

Demokrasi mekar di Malaysia. Itu hakikat. Anda boleh menerima atau menolak sesiapa atau apa. Atau anda boleh berkata [mengata?] tentang apa dan siapa.

Pilihanraya Umum ke-13 hanya di hujung selekoh. Akhbar, blog, laman sosial dan ceramah konvensional makin galak memarakkan keadaan. Dengar, tonton, baca dan fikir. Terserah kepada anda.

Dalam suasana sekarang, saya terkenang arwah Abang Mokhtar (meninggal pada bulan Mac 2009), pencipta lagu dan vokalis kumpulan The Goodman Brothers.

Bagi saya dia seniman rakyat, cuma tidak begitu diangkat. Dengar dan hayati lagu- lagunya. Selain lagu bertema kekecewaan  [biasalah sebagai memenuhi selera dan jiwa orang Melayu], turut diselitkan lagu yang liriknya melontarkan kritikan terhadap masyarakat umum.


Dengarlah lagu Semua Naik, Sakit Kencing Manis, Semua Duit, Ada Tiang Tiada Lampu, Kerja Berat, Budi Bahasa, Anak Orang, Bakti dan Jasa, Mertua dan Menantu, Kita Kerja Angkat Sampah, dan Hey, Hey, Hey, Johor!]

Liriknya bersahaja tetapi berbekas.

Namun paling berbekas kepada saya ialah lagu Kong Kali Kong. Lebih-lebih lagi dalam suasana mula membahang menghadapi PRU.

Pelbagai pihak akan datang kepada anda. Baik pemerintah dan lawannya. Dalam keadaan sekarang, pemerintah di sesetengah tempat adalah pembangkang di tempat lain. Jadi bersainglah mereka. Bersaing jugalah orang harapan mereka. Bersaing lagi orang kepercayaan kepada orang harapan mereka. Bersaing pula pengikut-pengikut orang kepercayaan kepada orang harapan mereka...........


Muncullah saudagar-saudagar janji dan penjaja-penjaja mimpi.

Pesan untuk kita dan mereka:  Berhati-hatilah.

Kong kong kali kong
sana bidik sana bohong
kong kong kali kong
jangan tipu orang kampung 

Jagalah jaga paklong dan maklong
sawah kebun nanti dilelong
kong kong kali kong

Ada yang berlagak jadi tauke besar
harta orang habis disambar
ada yang berlagak lebih berani
konon orang kanan menteri 
wang orang dibawa lari
busuklah nama pembesar negeri

Kong kong kali kong
sana bidik sana bohong
kong kong kali kong
Anak gadis banyak dilelong

jagalah jaga pakcik dan makcik
harta habis anak diculik
kong kong kali kong

Terkait juga lagu Pi Mai Pi Mai Tang Tu nyanyian arwah Nasir P Ramlee [ meninggalpada Disember 2008] di bait:

Duduk kedai kopi cerita pasai negeri
semua dia reti lebih dari menteri
duduk darilah pagi petang tak pulang lagi
rezeki habislah lari ...... rugi sendiri

Melayu, bangsaku......

27/04/12

Pak Pandir, Di Manakah Dikau?


Ketika mual membaca dan mendengar  komen beberapa orang pandir seni mempertahankan lirik lagu Bawaku Pergi, saya  teringat Pak Pandir, penyanyi yang asalnya seorang pemain belakang tabir syarikat rakaman. Azmi, nama asalnya, terus meledak apabila muncul dengan album pertama yang mengandungi lagu  Yang Remeh-Temeh.

Berkaca mata, bercelana panjang, bersamping kain pelikat serta bertanda nama Pak Pandir di kiri baju; itulah corak penampilan pilihannya. Beliau membawa lagu yang liriknya penuh berkias dan menyimpang sedikit dari aliran semasa. Album terbitan EMI pada tahun 1982 itu memuatkan sepuluh lagu [ditambah sebuah lagu instrumental dari salah satu lagunya itu - Wasiat]:

  1. Yang remeh-temeh
  2. Sarat seorang suri
  3. Subsidi
  4. Karat
  5. Wasiat
  6. Di kancah kerinduan
  7. Kau campak cintaku
  8. Mencari sekelumit ketawa
  9. Andirku
  10. Menunggu lamaran
Namun yang paling popular adalah Yang remeh-temeh. Dalam lembut, sindirannya tajam menikam. Meneliti setiap baris liriknya, sesiapa juga akan mengakui kebenaran hakikat sekeliling atau tentang diri sendiri! Mengangguk dalam hati......

Lagu seperti inilah yang diperlukan. Membuatkan kita berfikir tentang diri, masyarakat dan negara sekali gus. Bukan berfikir bagaimana untuk melarikan anak orang atau bagaimana mahu dilarikan!

Kepada sesiapa yang turut mual, dengar dan hayati lagu ini.

Yang Remeh-Temeh

Ada mata pandang
Ada telinga dengar
Ada mulut diam
Ada tangan garu
Ada kaki goyang

Ada otak pandai
Ada akal pakai
Ada bijak gadai
Ada mata pejam
Ada mulut kunyah

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu
Buatlah..(buatlah..)
Buatlah tak tahu

Rela jadi tunggul
Rela jadi patung
Tunggu dilelong
Suruh angguk-angguk
Suruh geleng-geleng

Oh puji lah aku
Ampulah aku
Senang hidupmu
Ada tangan tadah
Ada maruah campak

Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu
Yang remeh dan yang temeh
Berlegar di sekelilingmu

Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku
Biarkan..(biarkan..)
Biarkan berlaku
Di manakah Pak Pandir kini? Dia pernah muncul dengan album kedua yang mengandungi lagu Yang Ramah-Tamah, namun gagal mengulangi kejayaan album sulung. [Biasalah, kalau berjaya lagu atau filem atau novel, akan adalah sekuelnya... Nasiblah, kalau gagal]

Atau adakah lagi Pak Pandir lain untuk benar-benar memartabatkan seni?

26/04/12

.....Chandini Lagi

 
Seperti tidak puas menulis tentang Orkes Chandini, Batu 5, Sik.Ceritanya di sini tentang Dua Khan dan M Nasir [asli Malaysia]

Baru saja rasanya saya melihat S Mokhtar menyanyikan lagu yang dipetik dari albumnya bersama kumpulan itu di Simpang Empat bulan lepas.Ceritanya di sini.

Dua malam lalu saya mendengar semula lagu tersebut di Youtube. Sambil itu saya membaca ulasan/komen yang dicatat. Antaranya oleh Mizal yang merupakan anak Hamid Khan, pengurus/penyanyi lagu hindi. Ada catatan dari peminat generasi lama dan baru.

Paling memilukan kerana baru tahu bahawa S Jamaludin telah lama meninggal dunia. Anaknya turut memberikan nombor  telefon. Saya terus hubungi. Andy, anak arwah mesra melayan soalan saya walaupun dalam masa yang sekejap.

Tidak tahu apa yang mahu dicakapkan sebenarnya untuk takziah yang terlewat itu. Rupanya pemain organ itu telah meninggal pada tahun 1990.

Beberapa minit selepas meletakkan telefon, Andy menghantar mesej perihal dirinya yang bakal memulakan perniagaan kek  berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Dia mempelawa saya bertemu , berkenalan dan berborak. Insya Allah akan saya sampai ke premisnya.

Sementara itu marilah kita doakan yang terbaik untuk bintang yang pernah menyerikan dunia kita - S Jamaludin. Saya terkenang ketenangan beliau menyanyikan lagu Arab, Duniya bi Tikri....sambil menekan punat organ......

20/04/12

Noorkumalasari: Caranya Yang Cerdik.....



Telah 16 tahun Nookumalasari meninggalkan dunia glamor.

Glamor? Terkenal sangatkah Noorkumalasari? Baca ini.

Bagi generasi muda, namanya mungkin jarang didengar. Maklumlah ketika dia sedang glamor dulu, anak-anak SPM kini masih di dalam buaian.

Bermula pada tahun 1977 dalam filem Menanti Hari Esok arahan Jins Shamsuddin ( ada lagi 2 Esok sebagai tajuk filem lakonannya). Noor atau Kak Noor, seperti bahasa pada dirinya, telah berlakon 13 filem. Terakhir adalah filem Penghujung Malam pada tahun 1992, selain meminjamkan suaranya untuk filem Silat Lagenda (1998).

Noor juga terkenal sebagai penyanyi - segenerasi dengan arwah Sudirman. Mereka pernah berduet dalam album terbitan EMI. Banyak lagu popular beliau seperti Selamat Pagi Sayang, Hati Seorang Kekasih Lama, Mata dan Kau Dalam Ingatanku serta menyanyikan semula lagu Jikalau Mahu Kenal.

Dan sebelum terlibat berlakon dan menyanyi, dia punya pakej lengkap bermula sebagai peragawati.

Bagaimana anak seniman S Romainoor dan seniwati Umi Kalthom ini berubah/berhijrah?

Bacalah pengakuannya yang dipetik dari buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung susunan Ir. Endok Sempo Mohd. Tahir terbitan PTS.


Saya mula bertudung pada usia 40 tahun. Bagi saya kehidupan sebenar bermula pada usia 40 tahun. Saya sentiasa bertudung walaupun di dapur! Inilah yang sebenarnya, bukan lakonan lagi. Sungguh menakjubkan bagaimana kita mendapat ketenangan hanya dengan mematuhi perintah Tuhan. Tidak perlu berdalih-dalih lagi. Faktor yang mempengaruhi keputusan saya supaya bertudung adalah sebuah hadis yang mengatakan bagi setiap helai rambut yang terdedah kita akan diseksa selama 60 tahun di dalam neraka. Walaupun saya maklum ini hadis daif tetapi ia menjadi perangsang kepada saya. Pastinya sumber yang pertama adalah daripada ayat 31 surah an-Nur yang diterangkan oleh suami saya. Memandangkan ini perintah Tuhan, siapalah kita hendak menyangkalnya.


Suami saya menasihatkan saya supaya menetapkan tarikh untuk bertudung. Katanya, "Awak yang tentukan bila, tapi pohonlah kepada Tuhan semoga dipanjangkan usia sehingga tarikh itu." Saya memilih saat pulang daripada mengerjakan haji tahun 1997. Saya bersyukur kepada Tuhan yang mengurniakan kesihatan bagi saya mengerjakan umrah pada tahun 1994 dan seterusnya haji di mana sata terpaksa meninggalkan anak keempat saya yang baru berusia enam bulan. Pada masa itu, semuanya berlaku dengan pantas, ayah saya meninggal dunia di Mekah pada tahun sebelumnya.


Oleh kerana saya dikenali sebagai seorang yang sentiasa bergaya dan seorang artis yang sentiasa berani mencuba gaya baru, tidak ramai yang mengendahkan perubahan itu. Lagipun kami mula kurang menghadiri majlis-majlis, tidak seperti sebelumnya. Jadi tidak ramai yang sedar perubahan ini. Saya jauhi publisiti. Saya jalani kehidupan penuh glamor dulu. Cukuplah. Tidak perlu kita mengulangi cara hidup seperti itu lagi. Ada juga yang menganggap perubahan itu disebabkan kami baru balik daripada umrah dan itulah alasannya.

Keputusan saya bertudung menerima maklum balas yang negetif, kecuali daripada suami saya. Semua yang lain menganggap saya dipaksa oleh suami saya. Jauh sama sekali! Cara suami saya mengajarkan saya mengenai Islam membuat saya bertambah-tambah cinta kepada Tuhan. Jika dia memaksa saya membuat sesuatu, mungkin saya akan buat juga tetapi perasaan cinta tentu tidak ada.


Bukan sahaja saya bertudung malah saya perlu berpakaian seperti yang dituntut oleh Tuhan. Bajunya mesti longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang akhirnya muncullah fesyen yang menjadi identiti saya jubah hitam dengan tudung hitam lebar seperti dipakai wanita Arab. Kadangkala saya menambah lagi dengan mengenakan abaya pula. Mestilah berani untuk lain daripada yang lain. Memang dari dulu lagi saya terkenal dengan selalu berpakaian hitam. Jadi saya lakukan semua ini kerana Tuhan, di samping rasa gembira apabila melakukannya.
 Demikianlah.

Tidak perlu maklumkan di pentas, di depan khalayak, betapa kita telah menjadi baik.......... amat baik. Lalu diperoleh pula lesen untuk membedal dunia dan rakan-rakan yang baru ditinggalkan.....

Noor boleh berbuat begitu lama dulu - pada tahun 1998 itu, misalnya..... Tapi ternyata dia cerdik!

15/04/12

..... Dan Syukur Itu, Kathy


wajah 80-an
kini...




      







Kenal Kathlyn Boudville? Maaf jika ejaan nama itu salah - mungkin Kathleen.

Dia tinggal di Bromley. Bagi rakyat Malaysia, Bromley menjadi terkenal kerana Sohaimi Meor Hassan. Dialah pencipta dan pelantun lagu malar segar Epilog Cinta Dari Bromley.

Ya, adik kepada pelukis/kartunis Mishar (Meor Shariman Hassan) tersebut pernah bercerita tentang siapa Kathy yang dilagukan dalam epilog yang terkenal itu. [Mishar adalah pengasas bersama Majalah Gila-Gila yang mula diterbitkan pada April 1978].

Mishar
Sejak itu saya mula meminati lagu-lagu lainnya: Sandarkan Resahmu di Bahuku, Ros,  Suatu Permohonan Suatu Ketika, Senandung Getah Asli ,Suatu Aku Yang Terlena,Senandung Tidur Tak Lena, Senandung Sambal Tumis, Ku Seru Semangatmu Kekasih, Kau Kepunyaanku, Senandung Padi Malinja, Misteri Cinta, Apabila Isteriku Tertawa dan Semalam Aku Terpikirkan Sesuatu.

Hampir semua liriknya terlekat di ingatan.  Rasanya, seolah-olah saya membaca sebuah novel percintaan Sohaimi dengan Ros, isterinya, dilatari permasalahan kehidupan semasa di kampung dan di Eropah.

Terus terang, saya tidak mengharapkan kemunculan semula Sohaimi selepas album-album tahun 80-an itu. Biarlah lagu-lagu itu sahaja diwariskan kepada generasi berikutnya. Biarlah dia kekal di kepala dengan imej rambut tebal berketak.....

Ketika dia muncul bersama arwah Zubir Ali dan Zainal Abidin serta lainnya di bawah Roslan Aziz Production dengan album Ikhlas Tapi Jauh, saya berharap projek album solonya tidak menjadi! Biarlah Sohaimi seperti yang saya dengar dalam album-album keluaran EMI sahaja.

Apabila dia berkolaborasi dengan Ana Raffali dan Altimet serta Erra Fazira kemudiannya, saya tidak gembira langsung.

Namun apabila dia mengumumkan bahawa acara di Pulau Pinang 30 April adalah penutup karier nyanyiannya, saya gembira. Dia telah membuat keputusan yang sepatutnya. Dia memilih untuk bersara juga dalam perniagaan dan sepenuh hati tumpuannya mengabdi kepada Allah.

Saya bersyukur.

Maka kekallah Sohaimi dalam memori saya dengan lagu-lagu yang saya minati itu.

Semoga persaraan penyanyi jutawan itu akan membawanya dan Ros ke alam lebih bahagia di sini dan di sana. (Dia menjadi jutawan dengan mengaplikasi apa yang dipelajari. Bukan bergantung kepada royalti album.)

Bagaimana dengan Kathlyn?

Kathy, suatu hari nanti kau akan mengerti apa maksudnya......

14/04/12

Zed Zaidi, Anda Tidak Keseorangan!


Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi mencanak namanya setelah membuat komen kemenangan Aaron Aziz sebagai Artis Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.

Pasti ada pro dan kontra tentang komennya. Penjelasannya tentang nawaitu mengeluarkan komen sebegitu dan komen Aaron sendiri telah kita ketahui.

Yang menghairankan, kenapa setelah 87669 undi memihak Aaron, lalu membawa pulang Nissan Teana 2.5 dan barangan kemas bernilai suku juta ringgit, barulah bekas pemenang Hero Remaja itu bertwit? Kenapa tidak ketika pengumuman senarai calon akhir atau lebih awal?

Pembantu rumah: Mikha Tambayong
Atas nama jawatannya, kenapa tidak pula disuarakan  pelakon luar setaraf pembantu rumah ketika Mikha Tambayong dipilih Ahmad Idham sebagai pembantu rumah dalam teater Gerimis Mengundang di Istana Budaya ?(Kebetulan teater itu berakhir pada 8 April 2012)

Nyata sekali Zed meneruskan apa yang sering dilakukan oleh sebahagian rakyat Malaysia.

Ingatkah anda ketika Aidit Alfian memenangi Anugerah Juara Lagu beberapa tahun dulu? (Nota: Aidit Alfian adalah pencipta lagu, bukan penyanyi. Anugerah itu bernama Juara Lagu, bukan Juara Penyanyi.....) Riuh orang mempertikaikan kemenangan itu. Ada yang mengusulkan Aidit menyerahkan kembali hadiah yang diterima!

Ramai yang lupa bahawa lagunya disaring dan dihebahkan tersenarai dalam peringkat akhir. Kenapa tidak sesiapa membantah pada awalnya? Bukankah setiap yang tercalon, punya peluang untuk menang?

 
Seorang pelakon hebat pernah menumbuk pintu, apabila A R Badol dipilih Pelakon Lelaki Terbaik dalam satu Festival Filem Malaysia. Pintu itu tidak pula diketuk ketika nama anak A R Tompel itu tersenarai awalnya...

Dalam pemilihan parti lagilah.......

Demikianlah.

Ternyata, Zed, anda sekadar meneruskan ........

13/04/12

Bravo Julfekar!


Julfekar pemilik MillinneumArt mempunyai strategi pemasaran yang amat baik.

Dia berkembang ke Filipina. Menerbitkan lagu nyanyian artis dari negara Jose Rizal itu. Logiknya mudah. Pasaran untuk lagu berbahasa Tagalog agak luas. Selain dari dalam negara tersebut, ramai warga Filipina berada di Malaysia terutamanya di Sabah.

Rakyat Malaysia juga ada yang fasih berbahasa Tagalog. Eleh, rakyat Malaysia. Lagu yang tidak difahami bahasanya pun ramai yang bertaraf alhafiz!

Bayangkan potensi pasaran lagu-lagu yang diterbitkan oleh Julfekar itu.

Sebagai ahli perniagaan, Julfekar terkedepan berbanding kebanyakan penggiat seni  di negara kita. Dia tidak merebut kek yang sama dan kecil itu.

Tidak mustahil jika satu hari nanti dia akan mencipta lagu untuk dinyanyikan oleh artis Bangladesh, Nigeria, Myanmar dan Vietnam.

Julfekar akan popular dan berjaya. Malaysia biasanya bermakna majikan kepada pekerja asing. Mana ada rakyat kita yang menjadi pembantu rumah di sana. Maka tidak adalah artis negara-negara berkenaan menyamatarafkan Julfekar dengan pembantu rumah, apa lagi menuduhnya merosakkan industri lagu mereka...

Awak, saya lupala, awak!



"Awak ke mana?"

"Bukankah saya dah bagi tau malam tadi? Awak lupa?"

"Jangan tipula, awak! Malam tadi bukankah awak tak bercakap sepatah pun dengan saya."

"Ya? Sorry, saya lupala, awak. Awak balik balik awal kenapa? Awak tak sihat?"

Itu dialog dalam drama yang pernah ditayangkan. Dialog antara suami-isteri  yang berkahwin selepas masing-masing selesai belajar di kolej. Duduk di rumah banglo 4 tingkat walaupun belum bekerja. Pelakon-pelakonnya? Tak perlulah saya sebutkan. Cuma umur mereka sekitar 28-30 tahun. Watak emaknya pula dipegang oleh bekas penyanyi kumpulan *tut*, berusia 39 tahun. Wajah tegang, cuma rambut saja putih. Drama Malaysia..... Biasalah.

Sebagai penonton yang melangkah ke kelab warga emas, saya tertanya-tanya bagaimana panggilan isteri untuk suami begitu boleh diluluskan? Ikut trend? Tiadakah lagi ahli budaya dalam panel penilai drama?. Kalau bab pilih senarai pelakon, ketat pula kehendak mereka -mesti artis ini, jangan yang itu.

Lama dikononkan bahawa drama/filem adalah guru sivik. Penuh pengajaran. Ada mesej. Apakah dengan melepaskan dialog berawak-awak itu, pengajaran untuk anak-anak (besar dan kecil)?

Itu persoalan.

Namun jangan bimbang. Akan ada pula hamba Allah yang berkata, "Rakyat Malaysia bukan bodoh....."



11/04/12

Ismail Haron: Pulang Yang Abadi



Timbalan Presiden Seniman, Zed Zaidi mencanak namanya setelah membuat komen kemenangan Aaron Aziz sebagai Artis Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.

Pasti ada pro dan kontra tentang komennya. Penjelasannya tentang nawaitu mengeluarkan komen sebegitu dan komen Aaron sendiri telah kita ketahui.

Yang menghairankan, kenapa setelah 87669 undi memihak Aaron, lalu membawa pulang Nissan Teana 2.5 dan barangan kemas bernilai suku juta ringgit, barulah bekas pemenang Hero Remaja itu bertwit? Kenapa tidak ketika pengumuman senarai calon akhir atau lebih awal?

Pembantu rumah: Mikha Tambayong
Atas nama jawatannya, kenapa tidak pula disuarakan  pelakon luar setaraf pembantu rumah ketika Mikha Tambayong dipilih Ahmad Idham sebagai pembantu rumah dalam teater Gerimis Mengundang di Istana Budaya ?(Kebetulan teater itu berakhir pada 8 April 2012)

Nyata sekali Zed meneruskan apa yang sering dilakukan oleh sebahagian rakyat Malaysia.

Ingatkah anda ketika Aidit Alfian memenangi Anugerah Juara Lagu beberapa tahun dulu? (Nota: Aidit Alfian adalah pencipta lagu, bukan penyanyi. Anugerah itu bernama Juara Lagu, bukan Juara Penyanyi.....) Riuh orang mempertikaikan kemenangan itu. Ada yang mengusulkan Aidit menyerahkan kembali hadiah yang diterima!

Ramai yang lupa bahawa lagunya disaring dan dihebahkan tersenarai dalam peringkat akhir. Kenapa tidak sesiapa membantah pada awalnya? Bukankah setiap yang tercalon, punya peluang untuk menang?

Seorang pelakon hebat pernah menumbuk pintu, apabila A R Badol dipilih Pelakon Lelaki Terbaik dalam satu Festival Filem Malaysia. Pintu itu tidak pula diketuk ketika nama anak A R Tompel itu tersenarai awalnya...

Dalam pemilihan parti lagilah.......

Demikianlah.

Ternyata, Zed, anda sekadar meneruskan ........